Dataran Tahrir mula berdarah.
KAHERAH - Kekacauan di Mesir bertambah buruk selepas sekurang-kurangnya 22
orang terbunuh setakat semalam semasa pasukan keselamatan cuba menyuraikan
penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini.
Perkembangan itu mencetuskan kesangsian berhubung pilihan raya pertama Mesir
yang bakal diadakan selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.
Polis dan tentera menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru penabur
untuk mengosongkan dataran berkenaan yang menjadi lokasi perhimpunan ribuan
penunjuk perasaan menuntut junta tentera Mesir mengembalikan kuasa kepada
pemerintahan awam.
Kekacauan kelmarin menyusul selepas beribu-ribu orang berhimpun di dataran
berkenaan pada Jumaat lalu.
"Seramai 22 orang maut dalam keganasan di Dataran Tahrir dan beberapa wilayah
lain," kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan Mesir yang dipetik oleh agensi
berita MENA.
Kementerian sama turut memberitahu, lebih 324 orang cedera dalam pertempuran
dengan pasukan keselamatan. Terdahulu, ketua hospital ldi Dataran Tahrir, Dr.
Mohammed Fatuh mengesahkan kepada agensi berita AFP bahawa tiga lagi
mayat dibawa masuk dengan kesan peluru hidup pada badan mereka.
Pasukan perubatan sebelum ini melaporkan empat kematian, seorang maut
ditembak. Sementara tiga yang lain sesak nafas akibat terhidu asap gas pemedih
mata.
Cubaan polis dan tentera untuk menawan dataran itu ditentang hebat oleh
penunjuk perasaan yang kembali menawan lokasi berkenaan kelmarin.
Setakat semalam, kekacauan di Dataran Tahrir masih berlarutan. Dataran itu
merupakan simbol kepada kebangkitan rakyat yang memaksa Mubarak meletak jawatan
pada Februari lalu.
Seorang wartawan AFP memberitahu kelmarin, dia melihat beberapa
penunjuk perasaan membaling batu dan bom petrol ke arah kereta perisai tentera
dan anggota polis anti rusuhan.
Menurutnya, polis membalas dengan menembak peluru getah. Apabila sebahagian
penunjuk perasaan mula melarikan diri, katanya, sebahagian lain menjerit
"Bertahan! Bertahan!" dan "Kami tidak akan berundur!"
Sementara itu, agensi berita Mena melaporkan, satu perarakan
pengebumian seorang mangsa kekerasan polis di Iskandariah bertukar menjadi
pertempuran selepas pihak berkuasa menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai
yang menyertai perarakan tersebut.
Di bandar terusan Suez pula, pasukan tentera menembak peluru hidup untuk
menghalang kumpulan penunjuk perasaan daripada menyerbu sebuah balai polis.
Bantahan turut merebak di dua buah bandar raya di tengah Mesir iaitu Qena dan
Assiut, kata seorang pegawai keselamatan. - AFP
Comments